Bismillahirrohmanirrohim
Kata-kata manis yang kau ucap untuk menggambarkan cinta,
bisikan-bisikan halus yang membelai angin seakan-akan membuatku merasai cinta,
tidak ku nafikan betapa rasa itu mampu menenggelamkan akal waras,
dan hati mula mempertaruhkan ruang demi ruang di dalamnya sehingga tiada yang tersisa melainkan yang tercinta.
Dan di laluan itu aku mengenal satu kesulitan,
antara kebenaran dan rasa cinta,
yang mana satu, pilihan hati.
Tanpa-Mu Ya Rabbi,
aku sudah merasa gelapnya cinta menelan insan,
dan dengan-Mu, Ya Ilahi,
aku sudah tahu betapa indahnya sinar cahaya kebenaran membuktikan kebenaran,
walau hanya secebis di dunia.
walau hanya secebis.
Allah Ya Wadud,
sudah jauh hamba melangkah, menguis satu persatu rasa cinta,
yang menenggelamkan cahaya cinta-Mu.
Berkali-kali Kau mengeluarkanku yang berlumpur dengan dosa,
tanpa jemu, tanpa sebrang kepayahan,
hanya keran kau cinta pada hamba-Mu,
yang hina, fakir, zalim dan sedikit benar rasa syukur dan takut pada-Mu,
pemilik langit dan bumi,
penentu hidup dan mati,
penghapus dosa dan amal,
Allahu Rabbana,
beregetar rasa di dada,
gusar.
entah jari-jari ini mampu menjadi hujah buatku atau ke atasku.
entah air mata yang gugur ini mampu meraih kasih-Mu buatku atau menambah murka-Mu,
entah apa yang ku rasakan ini, membawa aku ke syurga-Mu atau menghumbanku ke neraka-Mu,
entah apa yang aku ikuti ini menjadikanku umat Rasul-Mu atau teman syaitan laknatullah,
Allahu Ya Alim,
kau tahu segala yang ada,
tersembunyi dan zahir,
makan perhiaskanlah imanku dengan cinta-Mu,
tuntunlah aku menapak di jalan yang kau titip ujian sebagai tanda cinta,
kuatkan setiap langkah dan usahaku dalam meraih redha-Mu,
siapa aku tanpa-Mu, tanpa cinta-Mu.
Buta, pekak dan bisu.
Faghfirlana, Ya Ghafur,
hamba sering kali memohon syurga sedang miskin segala,
amal mahupun pahala,
hamba sering takutkan neraka,
namun terus berbuat dosa,
bersangka-sangka pada-Mu Yang Maha Cinta.
Alhamdulillah, Ya Mutakabbir,
satu pinta sepanjang hidupku,
sehingga saat ruhku kembali kepada-Mu,
anugerahkanlah padaku rasa cinta,
cinta dari sang hamba pada Sang Pencipta,
yang penuh dengan cinta.
Hasbunallah wani’mal wakeel, wani’mal maula wani’mannasir.
Cukuplah Allah, cukuplah cinta Allah dalam hidupku,
yang membakar semangatku,
yang menggugurkan air mataku,
yang membisukan kepahitan dari bibirku,
kerana aku tahu,
Allah masih cinta,
Allah masih sayang.
Padaku yang tak punya apa-apa.
Allahu Allah.